Hospital Sibu terima sumbangan peralatan daripada Kumpulan Ta Ann

Utusan Borneo

 

BANTU: Ling (tiga kiri) simbolik menyampaikan sumbangan kepada Dr Ngian (tiga kanan) sambil diperhatikan oleh John (kiri).

 

SIBU: Hospital Sibu menerima sumbangan peralatan perubatan berupa GSI Corti Otoacoustic Emissions (OAE) bernilai RM25,000 daripada Kumpulan Ta Ann, kelmarin.

Sumbangan disampaikan oleh Presiden Kelab Rekreasi Ta Ann, Ling Kuok Wei kepada Pengarah Hospital Sibu, Dr Ngian Hie Ung  di Klinik Telinga, Hidung dan Tekak di Hospital Sibu.

Ling ketika ditemui memberitahu sumbangan itu merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Ta Ann membantu hospital menyediakan perkhidmatan terbaik.

“Kita menyedari keperluan hospital dan ini bukan kali pertama kita tampil memberi sumbangan kepada mereka.

“Diharap sumbangan itu sedikit sebanyak menambah peralatan perubatan di hospital ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada pesakit-pesakit terutama mereka menggunakan peralatan ini,” katanya di sini kelmarin.

Sementara itu, Pegawai Pemulihan Perubatan (Pendengaran) John Wong Pak berkata alat GSI Corti itu berfungsi untuk mengukur Otoacoustic Emissions (OAE) atau tahap pendengaran pada bayi, kanak-kanak dan orang dewasa.

Jelasnya, walaupun alat berkenaan nampak biasa namun sangat penting mengesan masalah pendengaran pada bayi baharu lahir agar langkah perubatan seterusnya dapat diambil.

“Kita mempunyai beberapa alat ini namun masih belum mencukupi pada masa ini. Jadi, dengan sumbangan Ta Ann ini sedikit sebanyak membantu kita,” katanya.

Terdahulu, Dr Ngian merakamkan terima kasih kepada Kumpulan Ta Ann kerana secara berterusan tampil dengan pelbagai inisiatif membantu Hospital Sibu.

Hadir sama Ketua Perhubungan Awam, Ta Ann Holdings Berhad Grace Mo Ping.