Regata Sarawak 2018 mendapat penajaan RM1 juta

KUCHING: Regata Sarawak 2018 mendapat penajaan sejumlah RM1 juta daripada syarikat-syarikat korporat.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media di sini semalam.

“Kita mendapat penajaan kira-kira RM1 juta untuk penganjuran Regata Sarawak 2018 dengan hari ini empat lagi syarikat korporat tampil menyerahkan penajaan masing-masing.

“Bagi pihak Kerajaan Sarawk, saya berterima kasih kepada penaja-penaja yang selama ini memberi sokongan penuh kepada penganjuran Regata Sarawak, ikon pelancongan penting negeri ini,” katanya.

Empat syarikat korporat yang menyerahkan penajaan masing-masing ialah Petronas Wilayah Sarawak (RM500,000), Petra Energy Berhad (RM100,000), Cahya Mata Sarawak (RM30,000) dan Ta Ann Holdings Bhd (RM30,000).

Mengulas mengenai Regata Sarawak 2018, Karim berkata 17 pasukan bakal merebut gelaran ‘Raja Sungai’ selepas penganjur mempertimbang menambah dua lagi penyertaan bagi kategori itu.

Beliau berkata acara kemuncak yang menawarkan hadiah RM10,000 itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada peserta.

“Raja Sungai adalah acara yang dinanti-nantikan oleh peminat sukan ini dan bagi penganjuran tahun ini, kita akan membuka satu atau dua lagi penyertaan untuk kategori ini.

“Tahun lepas 15 pasukan dengan setiap satu daripadanya mempunyai 30 pekayuh. Kita hanya boleh tambah dua penyertaan, bagi mengelak kesesakan,” jelasnya.

Bagi kategori perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2018, 12 negara dengan 30 pasukan telah mengesahkan penyertaan berbanding hanya sembilan negara pada tahun lalu.

Beliau memberitahu 12 negara itu ialah Brunei, China, Hong Kong, Thailand, Taipei (Taiwan), Filipina, Singapura, Macau, Indonesia, Switzerland, Jerman selain Malaysia (Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Sabah).

Menurutnya Sungai Sarawak akan berkocak dari 26 Oktober 2018 hingga 4 November 2018 dan acara perlumbaan perahu naga antarangsa yang terbahagi kepada lima kategori membuka tirai Regata Sarawak 2018.

“Bermula 2 hingga 4 November 2018 Regata Sarawak bermula dengan 13 kategori dipertandingkan melibatkan 310 pasukan bakal berentap,” katanya.

Jumlah keseluruhan hadiah yang bakal direbut peserta bagi kedua-dua acara itu ialah RM280,000.

Secara keseluruhannya perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa menawarkan hadiah wang tunai RM45,000 termasuk piala serta pingat manakala Regata Sarawak RM240,000.

“Regata Sarawak kali ini tidak hanya menyaksikan perlumbaan perahu tetapi penuh dengan pelbagai acara sampingan pada siang dan malam bermula 14 Oktober ini hingga hari terakhir, 4 November.

“Festival dram dan gendang akan diadakan di Tebingan Kuching selain pameran serta jualan hasil kraf tangan dan makanan Sarawak dikenali Dapur Sarawak,” katanya.

Majlis perasmian akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 27 Oktober ini dan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijadual menyempurnakan majlis penutupan sekali gus menyampaikan hadiah kepada Raja Sungai 2018.

 

https://www.utusanborneo.com.my/2018/10/10/regata-sarawak-2018-mendapat-penajaan-rm1-juta